Semasa

Usaha cari penyelesaian isu alam sekitar perlu penglibatan semua pihak – Nik Nazmi

Usaha mencari penyelesaian terhadap isu alam sekitar tidak hanya boleh ditangani oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kesedaran kesalinghubungan manusia dan alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ruang perbincangan mengenai isu alam sekitar haruslah dilaksanakan pelbagai pihak tanpa mengira fahaman, kepakaran dan agama sebagai usaha untuk merakyatkan isu berkenaan khususnya kepada masyarakat awam.

Susulan itu, beliau berkata pendekatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang membawa perbincangan kepentingan menjaga alam sekitar dalam bentuk pandangan agama Islam adalah sesuatu yang harus diikuti oleh pihak lain.

“Bagi saya, pendekatan yang dibawa oleh UiTM dan pihak rakan kongsi korporat sangat relevan apabila kita membawa perbincangan ini dalam bentuk sudut pandang agama,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian semasa berucap pada penutupan Persidangan Antarabangsa Islamik tentang Pembangunan Hijau Mampan di Shah Alam pada Rabu.

BACA LAGI: NRES pertimbang undang-undang khusus tangani pembuangan, pencemaran plastik

UiTM menerusi Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dengan kerjasama Nextgreen Global Sdn Bhd menganjurkan persidangan yang dihadiri 500 peserta, mengangkat tema mengintegrasikan nilai dan inovasi global bagi mengharmonikan matlamat pembangunan mampan (SDG) di samping pelancaran Islamic Sustainable Development Goals (i-SDG) Center.

Pelancaran i-SDG Center itu juga sebagai langkah memperkasakan peranan Islam sebagai pemangkin kepada merealisasikan hasrat dan matlamat murni SDG dengan banyak peluang penyelidikan dan kajian ilmiah dapat dijalankan bagi mendukung nilai itu.

Related Articles

Back to top button