ekonomi

Penarafan S&P, Fitch jadi bukti pengurusan ekonomi berhemah kerajaan

Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif oleh S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) membuktikan keberhasilan kaedah pengurusan ekonomi berhemat kerajaan dan agenda reformasi ekonomi MADANI.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan oleh Kementerian Kewangan (MPF) pada Jumaat berkata begitu sebagai mengulas penarafan S&P dan Fitch yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dan menetapkan tinjauan “Stabil”.

“Pengesahan oleh kedua-dua agensi ini mencerminkan keyakinan berterusan oleh pemegang taruh antarabangsa dalam prestasi pertumbuhan negara yang kukuh dan berdaya tahan, meskipun permintaan luaran yang mencabar ditambah dengan peningkatan konflik geopolitik global,” kata Anwar.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pelbagai usaha dilaksana kerajaan merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudah cara perniagaan dan daya saing serta penerusan pelaksanaan projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-e12).

“Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan dari segi perdagangan dan pelaburan memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan, kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak 4 hingga 5 peratus pada 2024,” tambahnya.

Justeru beliau menegaskan, pentadbirannya akan kekal komited untuk memastikan kemampanan kewangan awam dengan mematuhi trajektori konsolidasi fiskal yang konsisten.

BACA LAGI: PM Anwar optimis Malaysia mampu jadi negara kuasa ekonomi rantau Asia

“Defisit fiskal yang telah menirus kepada 5 peratus pada 2023 dijangka menyusut lagi kepada 4.3 peratus pada 2024.

“Dalam jangka sederhana, kerajaan menetapkan defisit fiskal untuk berada pada paras 3 peratus seperti termaktub dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

“Ini selari dengan sasaran fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk merealisasi kemampanan fiskal dan tatakelola yang baik,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button