Pilihanraya

PRK Sungai Bakap: pengundi dinasihatkan tidak keluar saat akhir

Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang diadakan hari ini dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati pengundi agar merancang perjalanan mereka sebaiknya berikutan cuaca diramalkan hujan di kawasan pengundian pada sebelah pagi, manakala akan berlaku ribut petir pada sebelah petang sebelum cuaca kembali baik pada waktu malam.

Pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diadakan hari ini bermula pada 8 pagi hingga 6 petang.

Sebanyak 65 saluran dibuka di sembilan pusat mengundi sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di Nibong Tebal.

Pengundi boleh mendapatkan informasi mengenai cuaca terkini dengan pantas dan tepat melalui media sosial rasmi dan laman sesawang MetMalaysia www.met.gov.my atau menerusi aplikasi MyCuaca di Google Play dan App Store.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memberi jaminan bahawa keselamatan pada PRK Sungai Bakap berada dalam keadaan baik.

Jelasnya, seramai 800 pegawai dan anggota polis bertugas untuk memastikan kelancaran proses pengundian.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Seramai 39,151 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK ini.

BACA LAGI: PH ‘kalahkan’ PN dalam aksi persahabatan di Sungai Bakap

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan semalam mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan semasa hadir untuk mengundi.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Related Articles

Back to top button