Semasa

Kerajaan MADANI usaha bantu pesawah terjejas kemarau di negeri pembangkang

Kerajaan tidak meminggirkan golongan pesawah termasuk di negeri pembangkang yang terjejas dengan kemarau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha telah dijalankan bagi memastikan golongan pesawah di Kelantan dapat menanam padi mengikut jadual pada musim yang bermula Julai ini sekaligus memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan padi.

Antara usaha yang dijalankan ialah Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga kali yang dapat memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan penanaman padi di sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Operasi Pembenihan Awan kita lakukan tiga kali di Kelantan dan saya sendiri turut ikut sama dalam penerbangan tersebut, masa kali pertama hanya turun sedikit hujan, kali kedua pula tak turun langsung manakala kali ketiga hujan turun sehari selepas itu.

“Kita tengok sekarang ini hujan sudah mula turun di sana (Kelantan) dan kami ambil laporan (hujan turun) setiap hari, pesawah tak kan alami masalah (bekalan air) malah mereka juga belum tertinggal lagi dalam musim ini untuk menanam padi,” katanya.

BACA LAGI: Menteri KPKM sertai operasi pembenihan awan di Kelantan

OPA di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik bagi mengatasi masalah penyusutan paras air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang merundung para pesawah di sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.

Media sebelum ini melaporkan, bencana kemarau yang dihadapi oleh pesawah sejak Mac yang lalu telah menyebabkan kerugian sebanyak RM58 juta kepada 3,587 pesawah di negeri itu.

Hampir 8,900 hektar sawah padi mengalami kemusnahan akibat musibah berkenaan.

Selain OPA, pentadbiran Anwar Ibrahim turut meluluskan peruntukan segera RM20 juta untuk tujuan membeli 20 unit pam air.

Related Articles

Back to top button