Parlimen

Dewan Rakyat dijangka bahas Laporan Ketua Audit Negara hari ini

Dewan Rakyat dijangka akan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 pada persidangan hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul yang disiarkan di laman web Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bakal membentangkan usul supaya laporan itu dibahaskan.

“LKAN wajar dibahaskan secara terperinci di Dewan Rakyat supaya perhatian dan pengamatan yang mendalam oleh semua pihak dapat diberikan bagi mendukung hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik, selain penelitian hanya di peringkat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Ia sekali gus dapat memberikan isyarat jelas kepada keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan akan kesungguhan untuk memerangi kecurangan dan salah laku serta memartabatkan tatakelola yang unggul seperti yang disarankan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Usaha murni ini juga seiring dengan inisiatif mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan untuk ‘semak dan imbang’ kuasa eksekutif,” menurut AUM

LKAN 2/24 dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu melaporkan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

BACA LAGI: KESUMA laksana pembaharuan, pastikan akauntabiliti dan integriti – Menteri

Ia membabitkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan berkanun Persekutuan, dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor, seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahu pun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan.

Related Articles

Back to top button