Sukan IPT: KPM rakam ucap tahniah buat kontinjen negara
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran 35 pingat emas di kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.
Melalui satu kenyataan, KPT berkata kontinjen negara meraih 38 emas, 45 perak dan 60 gangsa sepanjang 11 hari kejohanan bermula 25 Jun hingga semalam di Surabaya dan Malang, Indonesia sekaligus meraih kedudukan tempat ketiga.
“Pastinya, pencapaian membanggakan ini adalah hasil usaha gigih kontinjen negara yang terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara disertai kontinjen negara yang berentap bersama 11 negara ASEAN lain,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu KPT komited untuk menjayakan AUG siri ke-22 dengan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi temasya berkenaan pada 2026.
Kenyataan itu menyebut penganjuran sukan itu diyakini dapat terus melahirkan bakat terbaik sukan sekali gus melakar nama negara di persada antarabangsa.
BACA LAGI: Selangor FC dijangka heret MFL ke mahkamah timbang tara sukan
“KPT turut komited bersama agensi serta badan sukan lain dalam usaha membangunkan bakat sukan yang berprestasi tinggi dan mampu bersaing secara kompetitif di arena antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sebagai rekod, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir baru-baru ini mengumumkan pertambahan insentif kepada pemenang AUG 2024 dengan RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,500 (gangsa).