Nasional

KDN rampas 22,414 naskhah, bahan al-Quran import tidak tepati standard Malaysia bernilai RM3.2 juta

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,414 naskhah dan bahan al-Quran import yang tidak menepati standard ditetapkan Malaysia membabitkan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan menerusi operasi yang dilaksanakan bermula Januari hingga Jun lalu.

Beliau berkata, rampasan itu turut membabitkan naskhah dan bahan al-Quran yang dibawa masuk dari negara luar tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.

“Jadi ini kebanggaan kita (rampasan), jadi kalau nanti di sana kemasukan naskah al-Quran dari negara mana pun kalau untuk tujuan ia diedarkan dalam negara kita, mereka tertakluk kepada Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).

“Jadi ini tanggungjawab kami adalah memastikan ketulenan dan itu sangat penting supaya kemuliaan dalam bentuk teks ini dapat terus dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin memberi jaminan akan memantau setiap penerbitan al-Quran versi digital dan braille bagi mengelakkan berlaku sebarang kesilapan.

Beliau berkata, tindakan segera akan diambil pihaknya jika terdapat sebarang kesalahan tanpa menunggu sehingga ia menjadi terlalu serius.

“Kita ambil ini sebagai tanggungjawab kita… maknanya kalau mereka (penerbit) hasilkan Al-Quran digital sekalipun, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN (PK KDN) ada keupayaan untuk menguruskannya.

“Saya yakin ia mampu mengurangkan sebarang potensi berlaku kecacatan dari segi penghasilan Al-Quran versi digital… termasuk Al-Quran versi braille,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) KDN di Kuala Nerus, Terengganu pada Ahad.

Related Articles

Back to top button