Unjuran ekonomi negara makin teruk jika penyasaran subsidi diesel tidak dilakukan – Rafizi
Langkah kerajaan melaksana penyasaran subsidi bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat, tegas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Melalui Podcast Yang Bakar Menteri Episod 4 yang disiarkan pada Isnin, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, sekiranya penyasaran subsidi tidak dibuat segera kadar unjuran ekonomi negara akan menjadi lebih teruk.
Justeru pelaksanaan langkah tidak popular itu sebenarnya bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi negara
“Selain ketirisan dan penyeludupan berlaku membabitkan bahan itu yang merugikan negara, kerajaan terpaksa berbelanja besar sehingga RM52 bilion.
“Baik kita bagi subsidi kepada keluarga yang betul-betul susah dan memerlukan daripada kita subsidi itu disalah guna,” katanya menjawab pertanyaan blogger Salim Iskandar yang mendakwa langkah penyasaran subsidi hanya akan menyusahkan rakyat.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, mekanisma pengagihan subsidi minyak sebelum ini digunakan semaksimum mungkin golongan kaya kerana mereka mempunyai kenderaan lebih daripada satu.
Manakala bagi golongan bawahan yang hanya memiliki contohnya sebuah motosikal hanya menerima sedikit manfaat dari mekanisme pengagihan tersebut
“Ada baiknya ambik duit itu dan alihkan kepada keluarga-keluarga yang lebih layak. Sebab dengan cara itu sahaja ekonomi negara dapat dirancakkan kerana dan boleh mengurangkan hutang,” tambah Rafizi.
Kerajaan melaksana penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran bermula 10 Jun lalu.
BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel berjaya bendung aktiviti penyeludupan
Seiring langkah itu, kerajaan turut mengagihkan bantuan bersasar RM200 sebulan kepada penerima subsidi yang layak melalui insentif BUDI MADANI dan BUDI Agri-Komoditi.
Manakala bagi syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak, mereka bakal terus menikmati harga diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).