Kabinet bakal bincang langkah kukuh undang-undang buli siber – Menteri Dalam Negeri
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dijangka akan membincangkan isu buli siber, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur pada Khamis beliau berkata, Eempat kementerian sudah duduk semeja membincangkan langkah seterusnya bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada berkaitan dengan isu buli siber.
Justeru satu pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat, kata
“Kami meneliti satu peruntukan undang-undang dan kami juga membincangkan keputusan mahkamah yang hanya denda RM100 di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil…perlu ada tindakan undang-undang berasaskan seksyen atau akta yang lebih berat (sebagai) mesej kepada rakyat bahawa kerajaan memandang serius perbuatan buli siber ini.
“Hal ini harus diteliti, saya percaya akan ada pengumuman dalam masa terdekat ini termasuk di peringkat Jemaah Menteri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau Esha, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.
Susulan itu seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa lepas.
BACA LAGI: PM Anwar arah agensi berkuasa lebih serius tangani buli siber
“Kita mempunyai kekurangan di situ (denda ringan) tetapi ia bukan alasan untuk melihat aspek ini di sudut yang ringan.
“Lebih-lebih lagi kita lihat ada yang (pembuli) didenda RM100, keluar selamba dan tersenyum lagi, yang sudah tentu menghiris perasaan keluarga mangsa. Kita tidak mahu isyarat sedemikian disampaikan kepada rakyat,” katanya.