Anwar tekad buru bekas pemimpin ‘sakau wang negara’
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran diketuainya tidak bertolak ansur dengan perbuatan mencuri wang rakyat dan negara.
Merujuk kepada beberapa pemimpin kerajaan sebelum ini, Perdana Menteri itu berkata, beliau akan memburu dan menentang kumpulan itu selagi beliau masih diberi mandat dan kuasa oleh rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu turut menegaskan beliau tidak gentar dengan kumpulan terbabit yang kini bergabung dan berusaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
“Kamu pukul saya, saya maafkan..maki hamun dan fitnah saya, saya dah maafkan..tetapi kamu curi duit negara ini, kamu kena pulangkan balik kerana saya akan buru kamu tanpa tolak ansur.
“Itu sebabnya tauke-tauke, bilionair ini berkumpul..itu sebabnya Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin), dengan disokong oleh Pas. Tun Daim (Tun Daim Zainuddin) yang sakit-sakit itu pun bersusah payah berkumpul,” katanya.
Anwar berkata begitu dalam ucapan di Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Perai, malam tadi.
Sementara itu tambahnya, kumpulan itu menggunakan media bagi agenda mereka termasuk membeli iklan sepanjang pilihan raya kali ini dengan modal yang besar.
“Mereka beli media..ada satu media mereka sudah beli semua iklan sepanjang pilihan raya kali ini..wang yang banyak sekali.
“Apa kita peduli..kamu rasa itu akan menakutkan kita..kamu salah pilih orang..kalau rasa kita dan saya sebagai Perdana Menteri harus takut, kamu salah.
“Kerana selagi saya ada mandat, selagi saya ada kuasa dengan teman-teman saya..saya akan pertahankan prinsip dan akan menentang mereka sekuat mungkin demi menyelamatkan negara ini,” tegasnya.