Semasa

Pasukan khas bakal teliti takrifan buli siber, pinda peruntukan perundangan – Azalina

Kerajaan akan membuat penelitian menyeluruh sebelum membuat sebarang pindaan terhadap Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dalam meneliti takrifan buli siber yang ketika ini tiada dalam perundangan negara.

Bagi lebih memahami amalan pada peringkat global, Azalina berkata, pihaknya bercadang menganjurkan seminar undang-undang berkaitan ancaman siber dengan penglibatan negara luar, seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan Singapura, memandangkan terdapat pertikaian membabitkan elemen demokrasi dan batas hak asasi.

“Sebab dalam isu buli siber ini, ada orang kata mereka ada kebebasan nak bercakap apa yang mereka suka… sebab dikatakan dalam buli siber ini, mereka tak sentuh (secara fizikal), mereka cakap sahaja, katanya.

“Jadi sekarang, aspek jenayah ini bukan hanya satu kesalahan, (mereka) buat ‘swooping’, ‘doxxing’ (mendedahkan maklumat peribadi seseorang dalam talian tanpa persetujuan), menakut-nakutkan dan yang paling dahsyat, mengapi-apikan, maknanya galakkan orang wujudkan kebencian,” tegas Azalina.

Beliau ditemui selepas menghadiri satu acara di Butterworth pada Ahad.

BACA LAGI: PDRM beri perhatian serius isu buli siber, bakal buru pelaku

Sebelum ini, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang khusus untuk kesalahan buli siber.

Cadangan pindaan itu di samping memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’ bagi mengklasifikasikan perbuatan itu sebagai suatu kesalahan di Malaysia

Related Articles

Back to top button