Negeri

71 peratus Melayu Selangor puas hati prestasi kerajaan negeri

Sebanyak 71 peratus Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hasil dapatan itu berpandukan tinjuan dibuat antara 12 Jun hingga 18 Jun lalu yang juga mendapati 68 peratus responden berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Negeri bawah gabungan tersebut sejak 2018.

Dijalankan firma penyelidikan Endeavour-MGC, tinjauan itu mendapati 57 peratus responden bersedia menyokong gabungan Kerajaan Perpaduan berbanding 33 peratus kepada Perikatan Nasional.

Walaupun isu perkauman dan agama sering dimainkan oleh pembangkang, namun kira-kira 61 peratus mengutamakan parti dan 28 peratus lagi memilih faktor calon.

Hanya 7 peratus mengundi berasaskan kepentingan agama dan 1 peratus lagi berdasarkan faktor kaum. Walau majoriti peduli isu ekonomi semasa tetapi hanya 3 peratus responden mengundi berdasarkan faktor itu semata-mata.

Tinjuan juga mendapati Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN mendapat sokongan majoriti responden untuk memimpin semula Selangor sebagai Dato’ Menteri Besar selepas pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Beliau menjadi pilihan paling popular dengan 46 peratus responden berbanding hanya 6 peratus untuk Dato’ Seri Azmin Ali, 4 peratus Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan 3 peratus Tan Sri Noh Omar.

Tinjauan tersebut melibatkan 1,068 responden Melayu di seluruh 56 kerusi pilihan raya dengan nisbah seimbang antara lelaki dan wanita.

Kira-kira 45 peratus responden daripada golongan B40, 40 peratus lagi M40 dan selebihnya T20. Margin kesilapan dianggarkan 3 peratus.

Related Articles

Back to top button