Semasa

CRESS diperkenalkan, tingkat akses kepada elektrik hijau

Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bakal diperkenal bermula September ini bagi meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pengenalan program CRESS ialah sebahagian daripada usaha Petra di bawah Inisiatif GREENS Madani atau Government Renewable Energy Enhancement for Niche Sector bertujuan menyokong hasrat peralihan tenaga sektor berkeutamaan tinggi.

Melalui konsep akses grid terbuka, pihak ketiga (TPA) boleh membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan.

“Syarikat korporat di Malaysia perlu diberi pilihan untuk mengurangkan jejak karbon melalui bekalan elektrik hijau.

“Buat masa ini, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau dengan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo), membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET),” kata kenyataan itu.

Sementara itu kementerian itu memaklumkan, pelaksanaan CRESS akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), manakala Single Buyer (SB) dan Grid System Operator (GSO) akan berperanan sebagai pengendali pasaran dan sistem.

BACA LAGI: Kerajaan fokus jadikan Malaysia destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau

Kedua-dua entiti itu jelasnya akan mengendalikan aspek penyelarasan access and dispatch dalam sistem bekalan elektrik berdasarkan ketetapan regulatori yang dipersetujui kerajaan.

“TNB pula akan terus memainkan peranan sebagai pembekal elektrik utiliti yang akan menyalurkan bekalan elektrik yang telah dijana dan diperlukan kepada pengguna secara konsisten di dalam dan di luar tempoh waktu pembekalan elektrik hijau,” tambah kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button