Semasa

Kerajaan belanjakan lebih RM70 juta tanam hampir 8 juta pokok bakau

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM70.1 juta dari tempoh 2007 sehingga kini bagi menanam hampir 8 juta pokok bakau di hutan paya laut seluruh negara

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukkan dibawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara itu turut merangkumi aktiviti penyelenggaraan pokok, penyelidikan, pembangunan, pemantauan serta kesedaran awam.

“Program ini memberi fokus pada aktiviti penanaman pokok di kawasan pesisir pantai negara dan hutan paya laut yang berisiko berlakunya bencana alam dan terdedah kepada hakisan.

“Sehingga kini, seluas 3,461.64 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan sejumlah 7.95 juta pokok di bawah program ini,” katanya pada ucapan di Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Kuching pada Jumaat.

Teks ucapan tersebut dibacakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Nik Nazmi pada ucapannya juga berkata, Malaysia terus komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan yang masih terdapat di seluruh negara serta beriltizam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

Agenda itu jelasnya selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

BACA LAGI: NRES seru PKS, sektor swasta jayakan usaha sifar sisa plastik

“Pada masa ini, keluasan kawasan berhutan negara ialah 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara dan Sarawak menyumbang 7.67 juta hektar atau 42.51 peratus daripada keluasan kawasan berhutan negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sehingga 15 Julai tahun ini, Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah merekodkan penanaman sebanyak 91.16 juta pokok merangkumi 1,849 spesies di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button