Semasa

TVET jadi pencetus perubahan, golongan muda perlu rebut peluang – Timbalan Menteri KPT

Kerajaan giat menggerakkan pelbagai usaha bagi untuk menarik golongan muda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Jelas Datuk Mustapha Sakmud, kesungguhan kerajaan dalam memperkasa aliran TVET dapat dilihat menerusi peruntukan RM6.8 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi menawarkan pelbagai kursus dan program bidang berkaitan di seluruh negara.

Sektor itu menurutnya bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi untuk rakyat malah dapat memacu kemajuan negara.

“Negara telah menjadikan TVET sebagai pencetus perubahan… untuk kita mencapai negara maju yang berpendapatan tinggi, perlu berasaskan teknologi yang tinggi juga dengan proses pendigitalan sekarang, kecerdasan buatan dan pelbagai lagi.

“Maknanya pihak kerajaan telah menetapkan bahawa TVET ini memang kena perkasakan dan kita nak tarik seramai mungkin generasi muda kita yang minat tentang kemahiran ini masuk dalam institusi TVET,” katanya.

Mustapha ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Politeknik Kuching pada Sabtu.

Pada lawatan kerja itu beliau menghadiri sesi taklimat dan mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada pemegang taruh dalam usaha memastikan sektor TVET mampu menyediakan tenaga kerja yang menepati permintaan pasaran.

BACA LAGI: Kerajaan jadikan kursus integriti dan antirasuah sebagai subjek wajib untuk pelajar TVET

Sementara itu jelasnya, institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi seperti Politeknik menawarkan pelbagai jurusan TVET di peringkat diploma dan ijazah selain kolej komuniti yang menyediakan kursus pendek seperti pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

“PSH ini kita tawarkan kepada pelbagai peringkat umur dan melalui kursus pendek ini, kita dapat melahirkan ramai usahawan serta penjaja kecil kepada pelbagai kelompok di sekitar komuniti,” katanya.

Related Articles

Back to top button