Parlimen

Perundangan baru tingkat keselamatan digital dibentang ke Parlimen Oktober ini – Azalina

Kerajaan bakal membentangkan perundangan baru bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati (kill switch) ke Parlimen, Oktober ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata antara lain undang-undang itu bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet.

“Hal itu agar mereka memainkan peranan dalam menangani jenayah dalam talian seperti kes penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual,” katanya menurut laporan media.

Sementara itu tambahnya, kerajaan juga sedang mengkaji cadangan meminda Kanun Keseksaan untuk mengklasifikasikan dan mendefinisikan kesalahan buli siber serta cadangan pindaan berbangkit terhadap Kanun Tatacara Jenayah.

Ia bagi memastikan peruntukan jenayah itu dapat dikuatkuasakan secara efektif.

BACA LAGI: Perkhidmatan media sosial, pesanan internet perlu lesen berkuatkuasa 2025 – MCMC

Azalina turut memberitahu, Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 bakal dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM pada 5 dan 6 Sept ini melalui kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Penganjuran persidangan itu diadakan susulan pelesenan perkhidmatan media sosial berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selepas satu kerangka kawal selia baru ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan 1 Ogos ini.

Related Articles

Back to top button