Nasional

Platform media sosial beri respons positif terkait isu perlesenan – Fahmi

Platform media sosial memberi respons positif terhadap keperluan pelesenan di bawah kerangka kawal selia baharu untuk penggunaan internet lebih selamat oleh kanak-kanak dan keluarga, yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan wakil pelbagai platform semasa lawatan kerja tiga hari di Singapura, mereka mengakui keperluan untuk mematuhi undang-undang Malaysia dan bersedia untuk turut serta dalam proses berkenaan.

“Pertemuan saya dengan platform media sosial sangat produktif. Mereka mengakui bahawa Malaysia adalah pasaran penting bagi platform masing-masing.

Saya gembira untuk mengatakan bahawa semua platform media sosial ini bersedia untuk turut serta,” katanya kepada Bernama dan Nikkei Asia dalam satu temu bual di akhir lawatan kerjanya, pada Selasa.

Di Singapura, beliau bertemu dengan pegawai daripada pelbagai platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan Tencent untuk menyampaikan kepada mereka mengenai kerangka kawal selia baharu dan membincangkan keselamatan dalam talian serta potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram di platform berkenaan.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menerbitkan FAQ (soalan kerap tanya) pada 1 Ogos yang akan memberikan butiran lanjut mengenai kerangka dan mekanisme pelesenan itu.

Ia juga akan mengadakan beberapa siri libat urus awam dari 1 Ogos hingga 1 Januari tahun depan untuk mewujudkan kod tingkah laku yang akan dijadikan rujukan bagi pemegang lesen di bawah kerangka itu.

Sebelum ini, Fahmi berkata, MCMC telah memulakan libat urus dengan semua platform pada Februari, berkaitan isu yang dihadapi rakyat Malaysia dalam platform mereka.

Related Articles

Back to top button