Semasa

KPKT jangka bentang RUU Pembaharuan Semula Bandar pada sesi pertama Parlimen tahun depan

Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar dijangka dibentangkan ke Dewan Rakyat sesi pertama Parlimen tahun depan bagi merubah landskap bandar negara yang usang kepada wajah perbandaran baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, RUU itu akan memberi lebih autonomi kepada usaha membangunkan semula bangunan-bangunan lama khususnya yang tidak lagi selamat untuk didiami bagi dibangunkan semula.

Mengulas kewajaran RUU tersebut beliau menjelaskan, usaha membangunkan semula bangunan-bangunan lama terhalang kerana ia memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya berdasarkan Akta 757 Seksyen 57 (6) (Akta Pengurusan Strata).

“Saya mengambil contoh sebuah rumah flat dengan 500 pemilik, jika ada hanya seorang pemilik tidak bersetuju untuk bangunan itu dibangunkan semula, maka ia tidak boleh dilakukan. Jadi, adakah ini sesuatu yang adil?

“Adakah kepentingan seramai 499 pemilik lain perlu diketepikan hanya kerana seorang pemilik yang tidak bersetuju ini? Tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang,” katanya dalam sesi eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT bersama media, di Putrajaya pada Jumaat.

BACA LAGI: KPKT utamakan projek PPR kepada negeri sediakan tapak pembangunan sesuai

Mengulas lanjut beliau berkata, penggubalan RUU itu kini sudah melibatkan sebanyak 82 perbincangan atau libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Jelasnya, garis panduan RUU itu juga sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan berharap dapat dibentangkan serta diluluskan Dewan Rakyat secepat mungkin.

Sekiranya RUU itu diluluskan kelak, ia jelasnya akan menjadi pencapaian terbesar dan legasi terbaik KPKT kerana RUU ini sangat penting dan bakal menjadi `game changer’ kepada usaha merubah landskap perbandaran negara.

Related Articles

Back to top button