Belanjawan 2025: Aspek kebajikan dan pemerkasaan pasukan akan diutamakan – Menteri KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi keutamaan kepada aspek kebajikan dan pemerkasaan aset pasukan keselamatan dibawahnya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha melalui Belanjawan 2025 itu seiring dengan tanggungjawab kementerian yang menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Kebajikan adalah aspek yang saya tekankan pada bajet tahun lepas (Belanjawan 2024) dan saya akan teruskan lagi (tahun 2025).
“Tahun lepas kami berjaya memulihkan hampir 151 pos hadapan PGA (Pasukan Gerakan Am), sejumlah kuarters dengan memanfaatkan peruntukan sekitar RM300 juta, kemudian menyelesaikan isu perumahan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).
“Saya akan kekalkan momentum, memberi dan mengangkat keutamaan kepada MOF (Kementerian Kewangan) supaya ia dapat dikekalkan kerana aspek ini penting, mampu meningkatkan moral dan motivasi anggota-anggota keselamatan di bawah KDN,” katanya kepada pemberita selepas hadir Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama pemegang taruh KDN di Putrajaya semalam.
Sementara itu KDN juga tegasnya akan meningkatkan keupayaan aset Agensi Kawalan Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
BACA LAGI: KDN laksana penambahbaikan di pintu masuk negara
Sebagai agensi baharu, pihaknya perlu merangka belanjawan yang sesuai dengan operasinya dalam fasa pertama yang digerakkan sejak Mei lalu.
“Kami akan memberi tumpuan khusus kepada menguatkan MCBA supaya tahun pertama menyaksikan sekurang-kurangnya selesai dari segi perjawatan dan keupayaan aset,” jelasnya.