Semasa

Isu tajaan kepada sekolah vernakular tak perlu terus dimanipulasi – Menteri

Semua pihak diharap tidak terus memanipulasikan isu penganjuran dan penyaluran sumbangan tajaan kepada sekolah memandangkan isu berkenaan telah pun diselesaikan dengan baik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, isu tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi selepas Jemaah Menteri membuat penegasan mengekalkan garis panduan sedia ada.

“Saya rasa isu ini telah selesai dan kita kekal bersama dengan keputusan jemaah menteri (mengekalkan garis panduan bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah).

“Jadi, saya harap ia tidak berbangkit lagi dan kita tumpukan kepada isu pembangunan pendidikan yang lebih utama ketika ini,” katanya kepada pemberita.

Fadhlina ditemui di Program Bola Sepak untuk Sekolah Fifa dan Kempen Bola Sepak Wanita Fifa di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.

Sebelum ini timbul kontroversi apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

BACA LAGI: Pencegahan rasuah dari bangku sekolah, SPRM seru pelajar jadi Wira Anti Rasuah

Beliau kemudian tampil menjelaskan, diundang sebagai tetamu namun tidak dimaklumkan penganjur senarai penyumbang sehinggalah ketika tiba di lokasi program

Sehubungan itu kontroversi itu, jemaah menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah yang antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Related Articles

Back to top button