Semasa

Kerajaan belum puas hati, ramai tidak daftar bantuan subsidi Budi Madani – Timb Menteri

Lebih banyak sesi libat urus akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meningkatkan jumlah pendaftaran Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) .

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, kerajaan belum berpuas hati dengan data terkini kerana ramai yang layak masih gagal memohon subsidi bahan bakar itu.

“Setakat ini 259,141 daripada 410,000 kenderaan layak telah memohon. Manakala bagi kenderaan lori pikap untuk Budi Madani pula, sebanyak 100,000 pemilik yang sudah mendaftar daripada 300,000 kenderaan yang layak.

“Jadi, bagi memastikan mereka layak mendapat harga subsidi diesel, KPDN akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus seperti yang dilakukan pada hari ini.

“Perlu ada interaksi dua hala supaya mereka mendapat maklumat mengenai pendaftaran subsidi ini, kelulusan dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu Fuziah mengadakan sidang akhbar selepas sesi libat urus SKDS 2.0 di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan pada Ahad.

Mulai 10 Jun lalu, kerajaan mengapungkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

BACA LAGI: Kerajaan akan nilai semula bantuan Budi Madani RM200 ikut keperluan semasa

Selain inisiatif Budi Madani yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil, kerajaan turut memperkenal Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bagi mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.

Sementara itu, sebagai mengulas peniaga menggunakan kenderaan didaftar atas nama individu lain, Fuziah menjelaskan peniaga itu masih boleh menikmati SKDS 2.0 dengan syarat penama asal kenderaan itu membuat permohonan.

“Penama pada geran kenderaan itu kena memohon bagi pihak peniaga, tidak ada masalah dan mereka juga boleh dapat ‘fleet card’ dan SKDS 2.0, katanya.

Related Articles

Back to top button