Nasional

Cukup baca mantera keganasan Israel, usah harap AS – Mohamad Sabu

Cukuplah baca mantera keganasan Israel, usah harapkan AS (Amerika Syarikat) lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Beliau berkata, kezaliman Israel yang melampaui batas itu tidak mungkin boleh diharapkan lagi.

“Hari ini kita cakap pasal pembebasan Palestin. Tak larat dah kutuk Israel, Tahun 1948, Nakba; tahun 1967 bakar Masjid Al-Aqsa; penyembelihan Sabrah dan Satilla di Lebanon (1982); perang Gaza 1, perang Gaza 2, perang Gaza ketiga dari Oktober sampai sekarang sudah terkorban lebih 40,000 nyawa.

“Bom masjid, bom gereja, bom sekolah, bom kanak-kanak, bom wanita, bom wartawan, apa lagi yang Amerika nak bom kita tak tahulah, ini kekejaman Israel.

“Oh pengganas! Mereka yang angkat senjata pun dibunuh. Sheikh Ahmed Yassin di atas kerusi roda dibomnya, tak sampai 24 jam, bunuh Fuad, Syukur daripada Hizbullah dan orang paling penting Ismail Haniyeh dibom di Tehran.

“Apakah kita nak baca lagi senarai jenayah yang dilakukan mereka. Cukuplah sampai sini, tatacara dunia sudah hancur,” ucapnya dalam pidato pada Ahad malam.

Mohamad menegaskan kuasa besar seperti AS dan Britain tidak boleh lagi diharapkan kerana merekalah dalang sebenarnya.

“Keputusan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak pernah dihormati Israel dan Amerika, Netanyahu diisytihar penjenayah perang tetapi terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dani boleh berucap di kongres dapat ‘standing ovation’ berpuluh kali.

“Sukan pun hancur, Rusia tidak dibenarkan masuk sukan olimpik tapi Israel dibenarkan masuk olimpik. Apa jadi sekarang, bandar Paris jadi sunyi, kerana rakyat Paris menentang penyertaan Israel dalam olimpik.

“Janganlah kita merasa kuasa besar dunia, AS dan Britain menyelesaikan masalah Palestin, jangan mengharap sisik pada ikan keli kerana merekalah yang bertanggungjawab menubuhkan Israel,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau percaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada dunia mampu membantu pembebasan Palestin ini.

“Saya yakin roh Ismail yang syahid sedang menyeru kita untuk membebaskan Palestin.

“Wahai Perdana Menteri yang kukasihi, namamu begitu harum di seluruh dunia, kamu berupaya membuat satu tatacara baru di dunia ini. Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel tapi ajak mereka putus dengan Israel.

“Kamu berupaya sebagai pemimpin kami, bantulah negara yang bermusuh dengan Israel, tak ada hubungan diplomatik dengan Israel, bantu mereka supaya kuat.

“Sebarang tindakan kepada Israel, jangan bimbang kita dapat sokongan rakyat Eropah, Belanda, Sepanyol dan banyak lagi negara.

“Percayalah, kita yang akan membawa kemenangan kepada Palestin. Dan kita akan balik bersembahyang di Masjid Al-Aqsa secara merdeka tidak lama lagi,” katanya.

Turut menyampaikan pidato, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Related Articles

Back to top button