Anwar

Akhirnya Meta minta maaf kepada PM Anwar

Meta Platforms (Meta) hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak sengaja menurunkan hantaran media sosial miliknya baru-baru ini.

Ia merupakan hantaran Anwar menyatakan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.

Memetik laporan Reuters, Meta memohon maaf atas ‘kesilapan operasi’ dan menambah bahawa kandungan tersebut telah dikembalikan semula dengan ‘label berita yang betul’.

Namun, gergasi media sosial Amerika Syarikat (AS) itu menganggap Hamas, pergerakan Islam Palestin yang mentadbir Gaza, sebagai ‘organisasi berbahaya’ dan melarang kandungan yang memuji kumpulan tersebut.

Terdahulu, Anwar telah memuat naik rakaman video di Facebook dan Instagram pada 31 Julai, yang merakam panggilan telefon beliau dengan seorang pegawai Hamas untuk menyampaikan ucapan takziah atas kematian Haniyeh.

Beliau juga memuat naik gambar dari pertemuan terakhirnya dengan Haniyeh di Qatar pada Mei, bersama mesej takziah.

Ia merupakan kali kedua Meta berhadapan dengan kerajaan Malaysia, yang menyifatkan penurunan hantaran tersebut sebagai tidak adil, diskriminasi, dan penindasan kebebasan bersuara.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan anggota Pejabat Perdana Menteri turut bertemu dengan wakil Meta pada Isnin untuk mendapatkan penjelasan mereka mengenai perkara tersebut.

Related Articles

Back to top button