Semasa

Kerajaan teliti keperluan lanjut tempoh projek rintis Dasar Gaji Progresif

Kerajaan MADANI bakal melihat keperluan bagi memanjangkan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) dari 12 ke 24 bulan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu supaya pihak majikan terbabit mendapat manfaat daripada produktiviti dan kemahiran pekerja menerusi program itu.

“Tempoh 12 bulan ini kemungkinan (majikan) tidak akan bertahan. Dia masuk sistem, kemudian dapat bantuan. Insentif habis, dia turunkan gaji semula.

“Apa kita nak buat ialah berdasarkan 1,000 syarikat yang melalui proses ini, kita akan ada data dan boleh tentukan masa paling optimum untuk bila ia dilaksanakan secara menyeluruh. Adakah 24 bulan, 15 bulan atau 20 bulan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi ‘town hall’ Dasar Gaji Progresif bersama pihak majikan di sebuah hotel, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi pelaksanaan projek rintis DGP bermula Jun lalu termasuk bayaran insentif kepada 1,000 majikan.

Sementara itu tambah Rafizi, pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam melaksanakan projek rintis DGP kerana ia melibatkan jutaan orang pada skala besar meliputi pekerja dan majikan.

“Kita laksanakan dahulu projek rintis kerana kita perlu mendapatkan dan menyemak ‘learning curve’ daripada pelaksanaannya.

“Apabila kita sudah dapat ‘learning curve’ itu, sistemnya sudah ada, sudah tahu bagaimana perangai majikan dan pekerja, maksudnya untuk memperluaskan skala DGP akan menjadi lebih singkat,” jelasnya.

BACA LAGI: Lebih 21,000 penjawat awam Selangor bakal terima kenaikan gaji

Dasar Gaji Progresif merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memastikan pemberian upah/gaji yang adil kepada semua pekerja.

Kertas Putih mengenainya usaha reformasi sistem upah itu telah dibentangkan Rafizi Ramli di Parlimen 30 November 2023.

Related Articles

Back to top button