KKM tekan kepentingan nutrisi ibu bagi perkembangan kanak-kanak
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melancarkan Majlis Peluncuran 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak Malaysia Peringkat Kebangsaan pada hari ini.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), program tersebut menekankan pentingnya nutrisi ibu untuk perkembangan janin dan anak.
Menurutnya, nutrisi ibu semasa kehamilan dan dalam dua tahun pertama kehidupan anak adalah amat penting untuk mencegah masalah bantut, obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) di masa hadapan.
“Pengukuhan nutrisi semasa kehamilan dan dalam 1,000 hari pertama kehidupan adalah kritikal. Kekurangan nutrisi dalam tempoh ini adalah punca utama masalah bantut dan obesiti serta meningkatkan risiko NCD semasa dewasa,” kata Dzulkefly dalam ucapannya.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada sektor kesihatan swasta, badan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan atas sumbangan mereka sebagai rakan strategik KKM.
“Kerjasama ini sangat dihargai dan selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menekankan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) untuk menjayakan agenda kesihatan negara,” tambahnya.
Dzulkefly turut berharap agar inisiatif 1000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-Kanak ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada kesihatan dan perkembangan anak-anak di Malaysia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan pegawai-pegawai kanan KKM.