Semasa

Tolak pemikiran ‘ghuluw’, lempar tuduhan’kafir harbi’ sewenangnya – Dr Zulkifli

Melemparkan tuduhan ‘kafir harbi’ sewenang-wenangnya kepada orang lain memberi kesan negatif kepada perpaduan negara dan tidak wajar dilakukan terutama oleh orang beriman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan melalui satu kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat menyeru rakyat Malaysia menolak pemikiran ‘ghuluw’ yang bahaya itu.

“Orang beriman tidak sebegitu akhlaknya. Sentiasa berhati-hati dengan setiap tutur katanya. Umat Islam hendaklah berada atas Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah mengamalkan pendekatan wasatiyah penuh kesantunan serta berakhlak mulia.

“Kita perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah. Pengklasifikasian ulama kontemporari cukup jelas bahawa bukan Muslim yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak serta tanggungjawab adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaannya. Mereka adalah muwatinun (warganegara),” katanya.

Beliau berkata begitu sebagai mengulas video tular mengenai tuduhan DAP ‘kafir harbi di Malaysia’ yang dilemparkan seorang individu pada satu ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri .

Susulan video tular itu, tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

Mereka menegaskan kenyataan melampau itu adalah suatu perbuatan takfiri terhadap ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima

Sementara itu Zulkifli menegaskan, bukan Muslim yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak dan tanggungjawab dalam negara tersebut adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaan negara.

BACA LAGI: Pemuda HARAPAN seru Muhyiddin anjur program didik Ahli Parlimen PN tidak memfitnah

Justeru bulan kemerdekaan tegasnya sepatutnya masa untuk semua rakyat menginsafi nikmat keamanan dan memupuk perpaduan.

“Bukannya saling mengapi-apikan permusuhan hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik, katanya.

Related Articles

Back to top button