Semasa

Exco Selangor harap polis segera berkas pelaku serangan cederakan dua wanita di surau

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah mengutuk keras serangan yang mencederakan dua wanita di sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya pada petang Jumaat.

Melalui satu kenyataan beliau menegaskan, rumah ibadat dan sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk setiap rakyat.

Justeru tegasnya, tindakan biadap dan intimidasi seperti itu hanya wajar dibalas oleh suatu respon segera, keras dan tegas oleh semua pihak berkuasa terlibat.

“Saya telah memohon polis agar segera memburu penjenayah ini dan memaksimakan segala bentuk tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.

“Rumah ibadat dan sekolah wajib menjadi tempat yang selamat untuk setiap rakyat. Saya mendoakan agar mangsa diberikan afiyah dan kesembuhan segera,” katanya yang juga berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu agar segera melaporkan kepada polis sekali gus membantu pihak berkuasa memberkas penjenayah berkenaan.

BACA LAGI: Selangor peruntukkan RM20 juta tahun ini untuk baik pulih jalan diseluruh negeri

Terdahulu media melaporkan, dua wanita cedera iaitu guru besar berusia lingkungan 52 tahun dan jurujual berumur 26 tahun.

Susulan kejadian itu mangsa yang tercedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button