Semasa

Lebih 150,000 kenderaan belum didaftarkan dibawah SKDS – Timb Menteri KPDN

Pihak yang layak memohon fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) namun belum berbuat demikian digesa untuk mendaftar secepat mungkin.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, jumlah yang memohon inisiatif itu masih kurang berbanding jumlah yang layak sekaligus menimbulkan kebimbangan ia akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

“Apabila mereka yang layak tetapi tidak memohon untuk mendapatkan fleet card bagi penyasaran subsidi tersebut, ada kemungkinan meninggalkan kesan kepada harga barang yang mereka tawarkan.

“…tidak perlu ada banyak lori atau kenderaan, kalau ada satu lori seberat satu tan pun layak untuk mohon (bantuan subsidi itu). Silalah memohon supaya ia boleh membantu untuk mengawal harga barang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur semalam.

Berdasarkan data diterima KPDN setakat minggu lepas, hanya lebih 259,000 daripada 410,000 kenderaan yang layak, telah memohon untuk mendapatkan fleet card bagi bantuan subsidi diesel.

Sementara itu, sebagai mengulas isu kelewatan pengeluaran fleet card beliau berkata, pihak kementerian dalam proses rundingan bersama syarikat minyak yang terlibat, bagi menggesa mereka meningkatkan efisiensi serta mempercepat proses berhubung perkara berkenaan.

BACA LAGI: Kerajaan lanjut tempoh permohonan tuntutan bayaran balik tunai SKDS 2.0

Beliau turut menyarankan pengguna yang memiliki lori atau kenderaan sendiri yang layak mendapatkan fleet card untuk memohon cash card, sebagai alternatif.

“Cash card ini boleh digunakan untuk membeli diesel di stesen minyak dengan harga subsidi dan kad itu untuk mengesahkan sahaja…jadi ini antaranya jalan untuk membantu mereka yang memiliki satu lori,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button