Global

PM Anwar serlah keprihatinan terhadap isu kemanusiaan – Adun Sentosa

Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan isu jaminan perlindungan kumpulan minoriti bersama Ketua Penasihat Sementara Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus, mencerminkan nilai tinggi kepimpinan negara.

Adun Sentosa Dr. Gunaraj George melalui satu kenyataan berkata, langkah itu menyerlahkan maksud sebenar kerajaan Madani yang dipimpin beliau.

“Tindakan Perdana Menteri bukan sahaja menunjukkan keprihatinan beliau terhadap isu antarabangsa tetapi juga menyerlahkan komitmen Malaysia untuk menegakkan nilai kemanusiaan dan keharmonian global.

“Prinsip terpuji ini menandakan satu langkah ke arah keadilan dan kesejahteraan sejagat.” katanya yang juga Presiden Rudra Devi Samaj Malaysia itu.

Terdahulu, Anwar melalui satu kenyataan di laman Facebooknya menyatakan rasa gembiranya atas jaminan diberikan perdana menteri sementara Bangladesh itu untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga negara itu termasuk golongan minoriti.

Perkara itu dibincangkan pada panggilan telefon dengan sahabat lamanya itu pada Selasa malam.

Susulan itu jelas Anwar, Malaysia sedia membantu Bangladesh dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di negara itu.

BACA LAGI: Malaysia sedia bantu Bangladesh pulih keamanan, kestabilan – PM Anwar

Sementara itu Dr Gunaraj melalui kenyataannya berkata, Malaysia mesti terus menjadi model kepada dunia dalam memelihara keharmonian antara etnik dan antara agama dan sebagai pemangkin kepada keamanan global.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip kesaksamaan dan keharmonian, Malaysia tegasnya perlu terus menunjukkan kepimpinan yang telus dan adil.

“Kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh dalam memulihkan keamanan dan kestabilan seterusnya menunjukkan komitmen negara untuk memainkan peranan penting di pentas global,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button