Semasa

KPM sambut baik pengumuman syarat baharu kelayakan minimum perkhidmatan awam

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyambut baik keputusan kerajaan untuk meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, syarat minimum sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara itu akan menjadi pendorong kepada murid untuk menamatkan persekolahan sekurang-kurangnya sehingga peringkat SPM.

“Keputusan ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM ) untuk memastikan murid menamatkan persekolahan peringkat menengah dan menangani keciciran murid,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Putrajaya pada Jumaat mengumumkan syarat minimum itu yang bertujuan mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti perkhidmatan awam.

Turut diumumkan adalah pelarasan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam membabitkan kenaikan sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi (KPT) perkhidmatan awam.

BACA LAGI: Kewujudan sekolah model khas berjaya tangani isu keciciran pelajar Orang Asli

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan yang telah bersetuju melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta pegawai kumpulan pengurusan tertinggi (KPT) perkhidmatan awam,” katanya.

Fadhlina berkata, peningkatan gaji itu memberi manfaat kepada hampir 500,000 guru dan kakitangan KPM.

Related Articles

Back to top button