Nilai dagangan meningkat 18.3 peratus, terpantas dalam tempoh 21 bulan
Kerajaan MADANI berada pada landasan yang tepat dalam usahanya mengangkat kembali ekonomi negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui satu kenyataan media pada Isnin berkata, perdagangan Malaysia meningkat 18.3 peratus pada Julai 2024 sekaligus merupakan kadar terpantas dalam tempoh 21 bulan.
“Dari segi nilai, ia berjumlah RM255.88 bilion, nilai perdagangan tertinggi direkodkan sejak Oktober 2022,” kata kementerian itu.
Katanya, eksport terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut, berkembang 12.3 peratus kepada RM131.15 bilion, manakala import naik 25.4 peratus kepada RM124.73 bilion.
“Lebihan dagangan berjumlah RM6.42 bilion, adalah lebihan yang ke-51 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri lawatan rasminya ke luar negara sebelum ini memfokuskan usaha menarik perdagangan dan pelaburan.
Hasil usaha itu, Malaysia melakar sejarah pada Mac lalu apabila merekodkan nilai perdagangan, eksport dan import yang tertinggi bagi suku tahun pertama.
Sementara itu MITI dalam kenyataan sama berkata, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan dua angka.
Pertumbuhan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Katanya, berbanding Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7.6 peratus, 4.1 peratus dan 11.6 peratus.
Dalam tempoh tujuh bulan 2024, MITI berkata, perdagangan meningkat 9.8 peratus kepada RM1.652 trilion berbanding tempoh yang sama 2023, adalah nilai perdagangan tertinggi direkodkan bagi tempoh itu.
BACA LAGI: Pertumbuhan ekonomi Malaysia kini dalam kelas tersendiri – Rafizi
“Eksport naik 5.1 peratus kepada RM862.23 bilion dan import meningkat 15.5 peratus kepada RM789.71 bilion, sementara lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion dicatatkan dalam tempoh berkenaan.
“Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.
“Pertumbuhan ketara bagi dua suku tahun berturut-turut pada tahun ini menunjukkan negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2024 yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” tambah kenyataan itu.