Semasa

Polis tahan Sanusi 3 pagi setelah semua panggilan tidak berjawab – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan penahanan Menteri Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dibuat pada jam 3 pagi selepas semua panggilan telefon kepadanya tidak dijawab.

Dalam satu sidang media di Bukit Aman sebentar tadi, Razarudin berkata Muhammad Sanusi juga gagal dikesan untuk dipanggil oleh Polis Kontinjen Kedah berhubung kes Akta Hasutan terhadapnya untuk proses rakaman percakapan.

Selain Muhammad Sanusi, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politiknya untuk proses pemakluman bahawa Pengarah Pilihan Raya Pas itu perlu menghadirikan diri ke Mahkamah Selayang namun turut tidak berjawab.

“Tindakan yang diambil oleh pasukan polis menahan Datuk Seri Muhammad Sanusi, dilakukan terhadapnya pada jam 3 pagi tadi selepas beliau tidak menjawab dan membalas panggilan yang dibuat terhadapnya.

“Malah panggilan ke atas dua pegawai kanannya oleh pihak polis juga turut direject (ditolak) sehingga kita membuat keputusan menahannya selepas kertas siasatan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya, lewat petang semalam,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu tambah Razarudin, pihak polis kemudian mendapat tahu Sanusi akan hadir untuk satu program bersama Astro Awani pada jam 10 malam namun pemantauan yang dibuat mendapati tiada kelibatnya di situ.

Pertuduhan terhadap Sanusi tegasnya susulan ucapan cenderung menghasut menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada mana-mana raja.

“Dalam ucapan itu, terkait DYMM, Yang di-Pertuan Agong tentang Kerajaan Perpaduan dan DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Selangor atas pemilihan Menteri Besar Selangor

“Sifat kes ini berkait menghina institusi diraja, disebabkan kita tidak dapat menelefon dan memaklumkan kita cuba mencari beliau, kita jumpa beliau pukul 2.30 pagi di Mont Kiara dan membuat tangkapan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button