Jangan ‘tunggang’ Islam, halalkan cara demi kejar dunia – Sultan Nazrin bertitah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya Islam tidak didagangkan dan dijadikan alat untuk menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.
Baginda melalui titah di Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)kali ke-72 di Kuala Lumpur pada Jumaat menegaskan, kemurnian agama Islam tidak dapat dibuktikan relevansinya dengan percakapan retorik atau slogan sehingga masyarakatnya berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.
“Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang diuar-uarkan, atau apa yang dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh Islam zaman silam yang sudah menjadi sejarah.
“Tiada siapa dapat diyakinkan melalui apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup sedang disaksikan oleh dunia hari ini,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang juga Pengerusi MKI berkongsikan kisah interaksi seorang da’i dengan seorang pelancong Scotland di Kota London yang mengunjungi pameran ‘Introduction to Islam’.
“Beliau (pelancong) menyatakan Islam ialah agama yang indah lagi menarik, agama yang menganjur hubungan dengan pelbagai pihak, merangkumi umat Islam dan bukan Islam.
“Malangnya kata pelancong berkenaan, tingkah laku yang dipamerkan oleh ramai umat Islam adalah di sebalik apa yang dituntut,” titah baginda.
“Beliau (pelancong) menasihatkan umat Islam untuk kembali kepada al-Quran yang sangat indah dan mengagumkan serta wajib melaksanakan prinsip serta adab yang terkandung dalam al-Quran.
“Apabila (perkara itu) berjaya dilaksanakan, percayalah ramai pihak akan meminati dan mengikut Islam tanpa perlu menganjurkan sebarang pameran,” titah baginda lagi.
BACA LAGI: Sultan Ibrahim titah akan laksana tanggungjawab dengan jujur penuh timbang rasa
Justeru Sultan Nazrin bertitah, pandangan disuarakan oleh seorang pelancong bukan Islam terhadap umat Islam itu dipilih sebagai kandungan titahnya untuk diambil iktibar, dijadikan maklum balas berharga, dijadikan peringatan, diterima secara positif sekaligus secara konstruktif untuk menambah baik usaha meningkatkan syiar Islam dan membangunkan ummah.