Semasa

Laporan terkini kemajuan intervens kurikulum akan diterbitkan – KPM

Laporan terkini berkaitan kemajuan intervensi kurikulum sekolah akan diterbitkan dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pendididikan (KPM) melalui satu kenyataan sebagai merujuk kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi.

“KPM prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu yang dilaporkan di laman media sosial.

“Pada bulan Mac lalu, KPM telah mengumumkan inisiatif intervensi kurikulum yang merupakan salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan.

“Ia bertujuan menambah baik sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid,” kata kementerian itu.

Kenyataan itu berkata, empat inisiatif intervensi kurikulum yang sedang dilaksanakan antaranya Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.

Ia turut melibatkan pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

Selain itu inisiatif berkenaan juga membabitkan Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa bertujuan untuk memudahkan laporan tahap penguasaan murid.

“Pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian.

“Keempat adalah Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar,” katanya.

BACA LAGI: KPM tambah lagi 11 Sekolah K9 baharu, tangani isu keciciran murid di pendalaman

Justeru KPM meminta guru, ibu bapa dan masyarakat memahami dan memberi kerjasama yang diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.

Related Articles

Back to top button