Tanah jerlus: SOP pembangunan di Kuala Lumpur akan diperkukuh
Kerajaan komited mengurangkan risiko kejadian tanah jerlus di Kuala Lumpur seperti yang berlaku di Jalan Masjid India minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) pembangunan bandaraya itu.
Ia antaranya dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu permohonan kelulusan perancangan.
“Beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini adalah satu ruang untuk semua pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), meneliti dan menambah baik kaedah pemantauan serta tindak balas kepada insiden seperti ini.
“Sehubungan itu, saya mengarahkan Datuk Bandar untuk segera bekerjasama secara dekat dengan ahli geologi dan pakar infrastruktur untuk menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden seperti ini pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.
Dr Zaliha sementara itu menyatakan penghargaan atas keprihatinan semua pihak terkait isu tanah mendap di sekitar Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Pasukan khas kaji keselamatan struktur tanah di Kuala Lumpur diaktifkan
“Adalah penting untuk isu ini ditangani dengan fakta dan tindakan yang berasas, bukan hanya retorik dan tindakan yang boleh menyebabkan keresahan rakyat.
“Saya ingin sarankan mana-mana pihak tidak menangguk di air keruh. Tiada keperluan untuk mencari publisiti murahan atau mempolitikkan isu ini. Fokus kita sekarang adalah untuk mencari penyelesaian yang konstruktif demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” tambahnya.