Semasa

Usaha murni kerajaan bantu rakyat Palestin buka mata dunia, tak wajar dipersoal

Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak sepatutnya mempersoalkan usaha kerajaan membawa 41 rakyat Palestin yang cedera bersama keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dalam satu kenyataan menekankan bahawa inisiatif murni oleh kerajaan itu adalah berlandaskan nilai kemanusiaan, sekaligus membuka mata dunia terhadap penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.

“Sebagai sebuah negara, Malaysia sepatutnya membantu atas dasar kemanusiaan. Tiada institusi lain yang membantu mereka, jadi apa salahnya jika Malaysia menggunakan kelebihan yang ada untuk membantu?” katanya.

Sebelum ini, dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah digerakkan untuk misi kemanusiaan tersebut, pesawat membawa rakyat Palestin yang cedera itu selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor pada 16 Ogos lalu.

Namun begitu, usaha murni kerajaan ini telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak, sehingga menimbulkan kekecewaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Kamarul Zaman menegaskan, rakyat Malaysia tidak seharusnya menentang usaha tersebut kerana negara ini sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya sendiri menerusi pelbagai saluran dan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan.

“Jika ada pihak yang mahu kerajaan fokus kepada rakyat Malaysia, bantuan itu sememangnya sudah tersedia. Banyak bantuan disediakan oleh kerajaan, NGO, dan majlis agama, sama ada Islam, Kristian, atau lain-lain. Rakyat Palestin, sebaliknya, tiada apa-apa,” tambahnya.

Pandangan tersebut turut disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

BACA LAGI: PM Anwar ulangi kritikan terhadap hipokrit dunia terhadap Palestin

Menurutnya, misi kemanusiaan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini menunjukkan keprihatinan dan diplomasi kemanusiaan Malaysia.

“Pertikaian ini tidak sepatutnya timbul kerana saudara-saudara kita di sana benar-benar terdesak memerlukan bantuan,” katanya.

Related Articles

Back to top button