Semasa

PRK Mahkota: semua parti dalam kerajaan akan gerakkan jentera kempen

Kerajaan Perpaduan akan menggerakkan sepenuhnya jentera kempen daripada semua parti komponen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama sepanjang tempoh kempen.

Tambahnya, mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada Selasa turut melantik Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai pengarah PRK itu, manakala Ahli Parlimen Sri Gading Aminol Huda Hassan sebagai Penyelaras Jentera Pakatan Harapan.

“Seluruh jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia, terutamanya Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, akan digerakkan sepenuhnya untuk memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mesyuarat menyokong penuh calon Barisan Nasional di PRK DUN Mahkota, mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dalam masa terdekat. .” kata Dr Asyraf.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

BACA LAGI: Hari pengundian PRK DUN Mahkota ditetapkan 28 September depan

Seramai 66,318 pemilih termasuk 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan; 401 anggota polis serta 10 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara dijangka mengundi pada 14 September.

Dalam perkembangan berkaitan,PH Kluang sudah menggerakkan akar umbi parti itu bagi berdepan pilihan raya itu.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, arahan telah diterima daripada pucuk pimpinan PH untuk memulakan gerak kerja PRK DUN Mahkota bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan daripada UMNO.

Related Articles

Back to top button