Semasa

PM Anwar beri respon positif naik elaun ‘on-call’ pegawai perubatan

Cadangan agar kadar elaun bertugas atas panggilan atau ‘on-call’ pegawai perubatan disemak semula sudah dibawakan ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan daripada Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) itu telah mendapat reaksi positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru katanya, pegawai perubatan sektor awam di negara ini dijangka menerima berita gembira berhubung isu tersebut elaun tersebut tidak lama lagi.

“Kita mendapat respons positif daripada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan setakat ini, kita menunggu amaun (elaun),” katanya sambil membayangkan perkara itu akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 akan datang.

Dr Dzulkefly berkata begitu pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek MyGenom di Institut Kesihatan Negara di Shah Alam pada Khamis.

HDK baru-baru ini mengesa kerajaan menyemak semula kadar elaun tugas atas panggilan yang tidak disemak lebih sedekad lalu bagi mengekalkan kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut kumpulan itu, meskipun kerajaan telah mengumumkan penyelarasan gaji untuk kakitangan awam, terdapat keperluan mendesak menyemak semula elaun tersebut yang tidak disemak lebih sedekad lalu.

Sementara itu menyentuh mengenai isu kekurangan insulin, Dr Dzulkefly meminta masyarakat supaya tidak panik.

Beliau memberi jaminan tiada pesakit akan dibiarkan pulang dengan ‘tangan kosong’ dengan dibekalkan ubatan diperlukan berdasarkan pemeriksaan pakar perubatan yang merawat mereka.

“Saya sendiri terbabit dalam memastikan komitmen untuk kita dapatkan insulin daripada sumber lain dan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) juga akan memberikan laluan cepat untuk pendaftaran baharu insulin,” katanya.

BACA LAGI: KKM jamin bekalan insulin mencukupi hingga akhir tahun

Dr Dzulkefly sebelum ini mengakui isu kekurangan insulin untuk manusia yang berpunca daripada satu pembekal kementerian yang gagal memenuhi kewajipan kontrak untuk menyediakan bekalan itu.

Justeru pihaknya sedang berusaha mencari pembekal alternatif lain termasuk dari luar negara selain mempercepatkan permohonan pendaftaran dalam tempoh 60 hari berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Related Articles

Back to top button