Semasa

Merdekakan jiwa, elak sebar kandungan jelek di laman sosial – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak rakyat Malaysia ‘memerdekakan jiwa’ daripada penyebaran kandungan dan komen yang jelek yang boleh menyakitkan hati orang lain di media sosial.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Ummah Ikhlas di Putrajaya pada Jumaat beliau berkata, rakyat Malaysia harus menjunjung adab ketimuran dan sentiasa mengamalkan tata susila yang baik.

“Bagi rakyat beragama Islam kita harus berbalik kepada Al-Quran dan hadis dan pada rakyat bukan beragama Islam kita harus berpegang teguh kepada Rukun Negara, dan prinsipnya iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” jelasnya.

Fahmi sementara itu mendedahkan, aduan-aduan yang diterima di media sosial mendapati kebanyakan akaun yang mengeluarkan kata-kata jelek ini didapati merupakan akaun palsu.

Sementara itu sebagai mengulas majlis #QuranHour diadakan, Fahmi berkata beliau secara peribadi mahu ia dimasukkan ke dalam kalendar tahunan bagi Bulan Kebangsaan.

BACA LAGI: Kabinet mahu pelesenan perkhidmatan media sosial diteruskan ikut jadual

Program seperti itu jelasnya cukup baik dan mempunyai pengisian yang amat bermakna.

“Peringatan yang tepat pada masanya dan kita harap dapat memberi manfaat bukan hanya dalam acara tahun ini tetapi tahun-tahun akan datang Insya-Allah”, tambah Fahmi.

Memasuki tahun ke-10 penganjurannya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya tahun ini dipilih sebagai lokasi utama Malaysia #QuranHour 2024 yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara.

Related Articles

Back to top button