Negeri

Selangor terus jaga kebajikan komuniti Orang Asli – Menteri Besar

Kerajaan Negeri Selangor tetap memberi perhatian terhadap kebajikan dan usaha membangun komuniti Orang Asli di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha itu termasuk inisiatif biasiswa Sagong Tasi, bantuan yang ditawarkan bukan sahaja kepada pelajar yang menyambung pengajian peringkat universiti sebaliknya juga untuk pelajar sekolah menengah dari komuniti itu.

“Yang masuk pengajian kelas ketiga macam Institut Kemahiran Bina Negara, GiatMARA juga boleh mohon.

“Dasar Kerajaan Negeri nak pastikan pembangunan, kebajikan semua terbela. Kita mahu rakyat Selangor mendapat perhatian dan pembelaan sebaiknya,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada ucapan di Karnival Kesihatan dan sambutan Hari Orang Asli Sedunia di Perkampungan Orang Asli Kemensah, Ampang Jaya pada Sabtu.

Biasiswa Sagong Tasi merupakan tajaan khas bagi pelajar Orang Asli dari Selangor yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

Permohonannya dibuka sepanjang tahun bagi pelajar yang berkelayakan.

Sementara itu tambah Amirudin, sejumlah RM1 juta diperuntukkan sepanjang tahun lalu bagi melaksanakan proses mewarta perkampung Asli seluruh negeri.

Mengulas mengenai Perkampungan Orang Asli Kemensah, ia jelasnya tidak dapat diwarta setakat ini memandangkan kawasan itu melibatkan rizab hutan.

BACA LAGI: Kerajaan pastikan bekalan keperluan asas untuk Orang Asli tak terputus

“Ini dekat dengan kawasan geopark yang perlu daftar sehingga peringkat antarabangsa. Jadi banyak peraturan kena buat dan perlukan masa kalau nak gazetkan.

“Tetapi kita jamin tak akan halau penduduk sini dan pastikan boleh terus duduk kerana sudah lama tinggal di sini. Cuma kena tambah kemudahan,” katanya.

Related Articles

Back to top button