Henti sebar berita palsu dakwa Kuala Lumpur tidak selamat – Menteri KDN
Masyarakat digesa agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan disebarkan di media sosial termasuk mendakwa Kuala Lumpur tidak selamat ekoran kejadian itu dan berpotensi berlakunya lubang benam lebih besar tanpa memetik sumber berkredibiliti adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Telah sampai ke pengetahuan kita tentang segelintir warganet yang tatkala negara memberi tumpuan kepada insiden tanah jerlus yang memakan korban, ketika itulah juga disebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.
“Tindakan itu hanya menimbulkan keadaan cemas yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya minta untuk segera dihentikan dan kalau mereka ini dikesan, polis akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang kerana menyebarkan berita palsu yang menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam masyarakat,” katanya.
Saifuddin berkata begitu ketika ditemui pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Penyerahan di Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu.
Terdahulu tular di media sosial mendakwa kononnya Kuala Lumpur kini berstatus paling tidak selamat dan berpotensi berlaku lebih banyak lagi kejadian tanah jerlus.
BACA LAGI: PN kalah teruk di Nenggiri, bukti rakyat tolak politik fitnah
Turut tersebar luas di media sosial sebelumnya adalah artikel yang kononnya ditulis pakar geologi terkemuka dari Universiti Malaya (UM) yang bernama Dr Sarah Jamal yang mendakwa terdapat gua kosong yang besar di bawah tanah Kuala Lumpur.
Susulan itu Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan tampil menegaskan tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di Universiti Malaya atau didaftarkan di dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.