Semasa

Malaysia akan kembali gemilang dibawah pentadbiran PM Anwar – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat membawa semula Malaysia ke arah kegemilangan.

Menurut Zahid, rakyat Malaysia telah melihat dalam tempoh dua tahun ini pelbagai onak telah Anwar lalui termasuk soal nilai ringgit pernah hampir mencecah RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)

Namun kini jelasnya dengan kesungguhan pentadbiran Perdana Menteri, nilai ringgit telah semakin meningkat.

“Kita yakin bahawa dibawah pimpinan Perdana Menteri, keikhlasan beliau itu tidak ada tolok banding.

“Kita santunilah kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya pada ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP ke-71 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit pada minggu lalu mengukuh kepada 4.3185/3225 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 seminggu yang lalu.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain termasuk mata wang ASEAN yang lain.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dipetik laporan Bernama pada Ahad berkata ringgit, berkemungkinan menembusi paras sokongan segeranya pada RM4.3030 dalam tempoh terdekat.

Selain kedudukan mata wang semakin kukuh, Bursa Malaysia pada minggu lalu terus cemerlang, dengan indeks di paras tertinggi 45 bulan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid melalui ucapannya berkata, negara akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam tempoh kurang tiga tahun dan realiti dunia ketika ini tiada parti politik dapat membentuk kerajaan secara sendirian.

BACA LAGI: PM Anwar optimis Malaysia mampu jadi negara kuasa ekonomi rantau Asia

Justeru tegasnya, kestabilan politik dicapai hari ini perlu dipertahankan agar usaha membawa semula Malaysia ke arah kegemilangan dapat segera dicapai.

“Tuhan telah menentukan kita ada dalam situasi sekarang ini. Kita yang harus pertahankan kestabilan politik di negara ini untuk pertumbuhan ekonomi semakin baik, nilai ringgit semakin kukuh, eksport semakin tinggi, pelancong lebih ramai dan pendapatan negara bertambah. Itu yang harus kita pegang,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button