Semasa

Sesi libat urus dengan penyedia media sosial akan diadakan bulan ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial pada bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perjumpaan itu bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan efektif dalam memastikan data peribadi pengguna tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Langkah penting itu jelasnya bagi membolehkan SKMM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.

“Teknologi seperti deepfake sudah lama ada tetapi dengan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), ia turut digunakan scammer untuk penyebaran gambar lucah dan bahan melibatkan kanak-kanak. Itu sebabnya kita perlu dapatkan kerjasama dengan penyedia platform seperti Meta, Telegram dan TikTok,” katanya kepada pemberita.

Beliau sebelumnya hadir ke program Jom Tonton Wayang Takluk: Lahad Datu di sebuah pusat beli-belah di Kulai pada Ahad.

Sementara itu Nie Ching turut berharap sesi libat urus yang diadakan nanti akan mendorong penyedia platform media sosial melakukan pengawalseliaan kendiri terhadap kandungan berunsur jenayah dalam platform masing-masing.

Untuk rekod, kerajaan akan melaksana Kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan Internet (Internet messaging services) dan perkhidmatan media sosial (social media services) berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

BACA LAGI: Kabinet mahu pelesenan perkhidmatan media sosial diteruskan ikut jadual

Melalui penguatkuasaan itu, semua pemberi perkhidmatan pesanan Internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu diambil untuk memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Related Articles

Back to top button