Global

Lawatan Sikorski kukuh kerjasama Malaysia- Poland

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis lawatan rasmi Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski ke Malaysia bakal secara signifikan menperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

Keyakinan itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook susulan menerima kunjungan hormat Sikorski yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini.

Menurut Anwar, pada pertemuan itu kedua-dua mereka menyentuh perbincangan mengenai usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland, terutama membabitkan kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi digital, eksport pertanian dan sektor minyak sawit.

“Selain itu, kami turut menyentuh mengenai kerjasama ASEAN-EU, dengan mengambil kira peranan Poland sebagai presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) Poland pada Januari hingga Jun 2025 dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.

“Pertemuan kira-kira 40 minit itu turut membincangkan secara mendalam dan meluas mengenai isu mendesak terkait konflik di Ukraine dan Palestin,” katanya.

Pada 2023, Poland merupakan rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Sepanjang Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dua hala telah meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM3.05 bilion berbanding RM2.66 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023.

Ini lawatan pertama Sikorski ke Malaysia sejak pelantikannya pada Disember 2023.

Sikorski pada Selasa turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

BACA LAGI: Malaysia dan New Zealand tuntut gencatan senjata segera di Gaza

Pada pertemuan itu mereka menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang selain menyentuh mengenai prospek kerjasama bidang baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau serta ekonomi digital.

Dalam masa sama, Sikorski telah mengulangi jemputan kepada Anwar untuk melawat Poland pada tahun depan.

Related Articles

Back to top button