Semasa

Kerajaan setuju pinda Akta Pemegang Amanah, elak penyelewengan

Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) dan Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208).

Pejabat Perdana Menteri berkata, pindaan terhadap Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

Manakala pindaan terhadap Akta 258 antara lain melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.

“Pindaan-pindaan ini adalah bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan yang dipersetujui ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah, khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam, di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan Kerajaan serta penyalahgunaan dana awam, terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada Kerajaan.

“Isu ini (penyelewengan) bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan,” kata kenyataan yang menyusul Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dipengerusi Anwar pada Isnin.

Mesyuarat antara lain turut bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 AntiBribery Management System (ABMS).

Syarikat yang mempunyai sijil itu akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.

BACA LAGI: Perundangan baharu bakal diperkenal, kukuh tatakelola Badan Berkanun Persekutuan

“Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.

“Setiap usaha diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” tambah kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button