Semasa

Skandal GISBH: PM Anwar arah segerakan siasatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera terhadap kes Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ditemui pemberita di Kajang pada Jumaat beliau menegaskan, isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama dan penderaan adalah perkara besar dan sekiranya dakwaan terhadap GISBH terbukti benar, tindakan perlu dikenakan.

“Ramai tanya kenapa (berlaku) kelewatan, lengah dalam ambil tindakan, jadi saya sudah bawa perkara ini supaya diambil tindakan segera (dalam) siasatan dan laporan,”

“Biar polis buat siasatan dan tindakan mengikut undang-undang, pihak majlis agama terutama di Wilayah (Persekutuan dan saya lihat juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” jelasnya.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang.

Pada Rabu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Seramai 171 individu terdiri dari penjaga, ustaz, dan pengerusi rumah amal tersebut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.

Dalam serbuan itu pihak berkuasa turut menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

BACA LAGi: Umat Islam perlu rujuk ahli agama bertauliah, hindari ajaran sesat – Mufti Pahang

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam perkembangan berkaitan memaklumkan JAKIM akan membawa isu berkaitan GISBH kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi memutuskan dalam perkara berkaitan akidah.

“Bagi membanteras hingga ke akar umbi fahaman dan ajaran menyeleweng, jabatan ini akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISBH,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Related Articles

Back to top button