Semasa

PM Anwar rasmi himpunan terbesar Huffaz di Masjid Wilayah petang ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Himpunan 24K Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, petang ini.

Himpunan bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ itu akan menghimpunkan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

“Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama serta berkongsi aspirasi kerajaan Madani dalam memartabatkan institusi tahfiz dan memperkasakan peranan huffaz sebagai tonggak utama pembangunan negara bangsa,” kata Pengerusi Pertubuhan Agamawan Muda Malaysia, Afif Farhi Othman dipetik laporan media.

Mengulas lanjut beliau berkata, himpunan bertujuan meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting

Ia juga bagi memartabatkan al-Quran dalam kalangan masyarakat dan mencipta platform yang mampu mengukuhkan silaturahim antara para huffaz di seluruh negara.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tidak pernah abai kedudukan Islam sebagai agama rasmi

“Program ini juga memberikan peluang kepada huffaz untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, serta menerima pengiktirafan sebagai penjaga al-Quran yang mempunyai peranan penting dalam masyarakat. Dengan pengiktirafan ini, para huffaz diharap dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan sosial,” tambahnya.

Difahamkan, himpunan hari ini akan menyaksikan pelancaran Waqaf Al-Quran Mushaf Huffaz, di mana sebanyak 24,000 naskhah mushaf akan diedarkan kepada para huffaz.

Related Articles

Back to top button