KDN jamin integriti dalam proses pengeluaran pasport Malaysia
Integriti dalam memproses serta mengeluarkan pasport antarabangsa Malaysia akan terus diberi penekanan bagi memastikan reputasi dokumen itu terus terjamin.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan memastikan pasport antarabangsa Malaysia tidak jatuh ke tangan warga asing dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud kecurangan dalam proses pengeluaran pasport.
“Kita tahu pasport Malaysia dari segi reputasi diperakui antara 10 terbaik di dunia dan menjadi minat kepada pihak berkenaan.
“Jadi, yang menjadikan pasport kita tinggi nilainya adalah kerana proses untuk memohon itu melalui tapisan yang ketat sehinggalah dokumen itu dikeluarkan.
“Namun, sekiranya wujud jalan curang dalam memproses pasport itu, lama-kelamaan kita juga akan mengesannya. Sebab itu, kita akan tekankan dari segi integriti membabitkan proses yang mesti dilalui dalam mendapatkan pasport,” katanya selepas menghadiri Program Inspirasi Malaysia (I’m) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, Kluang, Johor pada Jumaat.
Saifuddin mengulas kes membabitkan seorang lelaki warga Sri Lanka yang dikesan menggunakan pasport antarabangsa Malaysia milik individu lain tertera nama Raja Danny Denis untuk keluar dari negara ini.
Suspek berusia 21 tahun ditahan Jabatan Imigresen Kedah di sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ketika cuba melepasi sempadan Thailand.
BACA LAGI: Pintu masuk utama negara diberi perhatian khusus, bendung penularan Mpox
Kes itu adalah yang keempat dikesan di Kedah sepanjang tahun ini yang mana semuanya turut membabitkan warga Sri Lanka.
Kes pertama dikesan 24 Januari lalu apabila suami isteri warga Malaysia ditahan ketika cuba memohon pasport untuk seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka di Pejabat Imigresen Kulim.