KPM setuju 10 tuntutan Sarawak perkasa pendidikan negeri
Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju dengan 10 tuntutan dikemukakan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha memperkukuhkan pendidikan di negeri itu.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berkerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua negeri itu dapat terus dipertingkatkan selari semangat kesatuan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
.
“Ini termasuk usaha mengukuhkan pelibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan/keutamaan serta pelibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan,” kata kenyataan itu.
Menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) pada Febuari lalu telah membuahkan hasil yang positif, KPM menyatakan persetujuan untuk memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selainnya kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
BACA LAGI: Fadhlina nyata tekad KPM tambahbaik akses pendidikan sekolah pendalaman
“KPM turut optimis hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.
“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk mengenai keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” kata kenyataan itu.