Semasa

Kerajaan sedia dana RM17.5 juta untuk penggiat industri kreatif negara

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sektor filem dan industri muzik kepada penggiat industri kreatif negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dana itu mampu mewujudkan industri kreatif berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif, selain membangunkan modal insan kompetitif dan setanding di persada tempatan serta global.

“Dana ini dapat bantu para penggiat industri filem dan muzik menghasilkan kandungan yang menceritakan serta menonjolkan budaya, kemajmukan dan sedikit sebanyak sejarah tentang Malaysia.

“…untuk ditayangkan bukan hanya kepada rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa,” katanya di sesi sembang santai bersama penggiat industri kreatif dari Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Kira-kira 200 penggiat seni dan hiburan dari Sabah dan Sarawak menghadiri sesi sembang santai yang berlangsung selama lebih satu jam itu dengan pelbagai perkongsian dan pandangan telah disuarakan.

Sementara itu Fahmi menjelaskan,dana ditawarkan secara keseluruhan berjumlah RM17.5 juta,

Daripada jumlah itu RM11 juta diperuntukkan kepada DKK sektor filem, manakala selebihnya untuk DKK industri muzik.

Penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan, selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem industri kreatif negara.

Permohonan DKK Sektor Filem dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/ menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif, manakala permohonan DKK Industri Muzik melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif berkelayakan.

BACA LAGI: Fahmi sifatkan penyedia media sosial lemah dalam usaha kekang jenayah

“DKK sektor filem melibatkan Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Film Maker, Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditawarkan bermula 16 Sept ini.

“Bagi DKK industri muzik, empat kategori ditawarkan melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) mulai 26 Julai hingga 30 Sept merangkumi Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya), Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya), Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI).

“Dua lagi kategori DKK industri muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara serta Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang tahun ini kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button